Kampung Sungai Burong mendapat nama sempena nama sebatang sungai yang mengalir di dalam kampung tersebut. Pada mulanya, nama asal kampung ini ialah Kampung Sungai Gunung kerana orang pertama yang datang ke kampung ini menjangkakan air sungai yang mengalir itu datang dari gunung yang berhampiran.
Namun, nama tersebut telah di tukar kepada Sungai Burong setelah empat orang pengembara telah hanyut dengan sebatang kayu besar lalu terdampar di sebuah tebing yang mempunyai banyak burung. Salah seorang daripada mereka berasa takut sekiranya ada orang di kawasan itu menangkap burung-burung tersebut untuk dijadikan makanan. Sejak peristiwa itu, nama Sungai Gunung tidak lagi digunakan dan telah di tukar kepada Kampung Sungai Burong dan nama tersebut kekal sehingga kini.
Mengenai ejaan nama kampung, ada yang menulisnya sebagai Sungai Burong dan ada yang menamakan ia Sungai Burung. Bezanya di sini adalah pada vokal O dan U. Namun, Sungai Burong mahupun Sungai Burung adalah kampung yang sama terletak dalam Daerah Balik Pulau, Pulau Pinang. Bagaimana perkara berkenaan terjadi? Ayuh kita selusuri sejarahnya. Menurut Hashim Musa (1997:429), terdapat cara pemilihan antara vokal O dan U dalam perkataan yang hampir sama dari segi sebutannya. Misalnya, vokal O akan digunakan jika pada suku kata akhir yang berpola ONG atau OK seperti burong atau merbok. Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga yang diadakan pada 1956 menerusi Jawatankuasa Ejaan dan Bunyi Bahasa Melayu telah menghasilkan satu kertas kerja bertajuk Ejaan Bahasa Melayu Dengan Huruf Rumi. Kertas kerja itu bertujuan menghuraikan kekeliruan pengguna bahasa terhadap ejaan sekolah.