Kampung Sungai Burong ini didiami 100 peratus kaum Melayu yang beragama Islam. Pola petempatan kampung ini ialah secara berselerak. Kedudukan setiap rumah tidak tersusun dan pembinaannya agak rapat antara satu sama lain. Hal ini kerana kebanyakan penduduk kampung mempunyai tali persaudaraan dengan jiran-jiran mereka. Terdapat beberapa buah rumah di sini yang masih lagi mengekalkan seni bina rumah kampung. Namun begitu, dek arus pemodenan di kawasan sekitar yang semakin membangun, sedikit sebanyak mempengaruhi pembinaan struktur rumah daripada jenis kayu kepada batu.
Anggaran penduduk di Kampung Sungai Burong ialah kira-kira 1,400 orang. Rata-rata penduduk menceburi sektor pertanian, penternakan, perniagaan, perikanan dan perkhidmatan di sektor kerajaan dan swasta. Terdapat juga segelintir golongan penduduk yang berpendapatan rendah seperti fakir miskin dan anak yatim. Mereka ini mendapat bantuan daripada pelbagai agensi. Antaranya ialah Pejabat Kebajikan Masyarakat, Skim Bantuan Rakyat Termiskin serta bantuan daripada Yang Berhormat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Kawasan ini diteroka oleh penduduk Melayu sendiri dan sehingga ke hari ini penduduk masih lagi mengekalkan hubungan yang baik antara satu sama lain. Sikap saling tegur-menegur dan membantu merupakan nilai-nilai murni yang diterapkan sejak dari dahulu lagi bagi mengukuhkan semangat kejiranan antara satu sama lain.
No comments:
Post a Comment