Thursday, 10 November 2011

Kampung Indah dan Permai


Kampung Sungai Burong terletak di dalam Mukim H, Daerah Barat Daya, Balik Pulau, Pulau Pinang. Pekan yang terdekat dengan kawasan kampung ini ialah Pekan Balik Pulau iaitu kira-kira 10 minit perjalanan dengan berkenderaan. Bagi mereka yang ingin berkunjung ke Balik Pulau, perlu berhati-hati kerana perjalanan menuju ke kawasan ini berbukit-bukau dan bercerun. Walau bagaimanapun, sepanjang perjalanan menuju ke Balik Pulau, di kiri dan kanan jalan diapit dengan kehijauan hutan dan pengunjung pasti terhibur mendengar kicauan burung.

Sampai sahaja di kawasan Balik Pulau ini pasti pengunjung akan terpukau melihat keindahan panoramanya yang terletak bersebelahan dengan kawasan bukit-bukau dan juga Laut Selat Melaka. Kampung Sungai Burong juga kaya dengan keindahan dan ketenangan kawasannya. Sepanjang perjalanan menyusuri kampung ini, pengunjung pasti tertarik melihat pokok kelapa yang melambai-lambai dan keramahan penduduknya. Maka tidak hairanlah sekiranya kampung ini sering kali dikunjungi oleh pelancong-pelancong asing kerana keindahan dan kedamaian kampung ini memikat hati pengunjung yang datang.

No comments:

Post a Comment